Gempar! KWSP lantik CEO baru bagi mengantikan Tunku Alizakri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Perlantikan itu mendapat kelulusan Menteri Kewangan dan akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang menerajui KWSP sejak 20 Ogos 2018.

Amir Hamzah mempunyai 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjayanya bermula apabila menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat antaranya MISC Bhd, PETRONAS Dagangan Bhd, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Bhd dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama tujuh tahun, bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai CEO KWSP.

“Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi rakyat,” katanya.

Ahmad Badri berkata, KWSP juga mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah di atas pelantikan itu.

Beliau berkata, Amir Hamzah akan membantu KWSP di kala mengharungi situasi ketika ini yang sangat kompleks dan mencabar dalam sejarah KWSP.