Jangan risikokan diri orang lain. Che Ta membuat keputusan untuk tidak mahu kerja dengan artis belum vaksin.

PETALING JAYA – Tidak mahu meletakkan dirinya dalam keadaan berisiko, dramatis terkenal, Rozita Che Wan berharap setiap rumah produksi menyaring ketat pelakon mahupun kru supaya melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sebelum penggambaran bermula.

Menurut Rozita, individu yang tidak disuntik atau belum lengkap suntikan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab sekiranya masih berdegil untuk bekerja tanpa mempedulikan keselamatan diri dan orang lain.

“Kena pastikan yang semua orang yang terlibat kena lengkap vaksinasi. Kalau belum lengkap, kita minta maaf tak boleh nak ambil bekerja.

“Kita terpaksa la kena ikut peraturan yang ditetapkan. Tak mahu hanya disebabkan dia seorang, kemudian akan libatkan orang lain,” kata Che Ta kepada mStar. Rozita berkata demikian ketika sidang media secara maya pelancaran warna baru Himaya Premium Hijab Medical Face Mask pada Rabu. Pelakon Kiah Pekasam ini dilantik sebagai duta memperkenalkan warna baru merah samar iaitu Blush Rose sempena kempen Kutipan Dana Untuk MAKNA.

“Setakat ini, saya tidak mendengar lagi mana-mana syarikat produksi yang mahu menyambung semula penggambaran tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan vaksin.

“Selepas empat bulan tidak turun ke lokasi penggambaran, sudah tentu kita semua mengharapkan penggambaran yang tertunda akibat pandemik dapat berjalan lancar dengan memastikan semua pihak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Saya sendiri tidak akan merisikokan diri sendiri dan orang lain yang bekerja dengan saya kerana yakin sekiranya kita mengikuti segala yang disarankan, Insya-Allah risiko jangkitan dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan duta Himaya semalam.

Bercerita lanjut, Rozita atau mesra disapa Che Ta, 48, memberitahu, buat masa ini, dia juga tidak sabar untuk mula bekerja selepas beberapa bulan menunggu berita berkaitan pembukaan semula sektor industri kreatif.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan, dia bakal menjalani penggambaran drama bersiri di Perlis selama sebulan bermula pertengahan bulan ini.

“Kali ini lokasi penggambaran agak jauh dari Kuala Lumpur dan melibatkan ramai pelakon kerana episodnya panjang. Apa pun saya sudah lengkap dua dos dan boleh bekerja, cuma masih perlu berhati-hati serta ikut SOP.

“Sebagai penerbit, syarikat saya dijadualkan memulakan penggambaran drama Hingga Ke Hujung Nyawa tidak lama lagi,” katanya lagi.

Semalam, Seniwati Fauziah Nawi mendedahkan terdapat penerbit yang bersikap mementingkan diri sendiri apabila menggunakan khidmat pelakon yang tidak mengambil suntikan vaksin dalam
pembikinan drama.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, pelakon veteran berusia 68 tahun itu meluahkan rasa kecewa kerana langkah yang dibuat itu tidak memikirkan rakan-rakan seangkatan lain.

Bimbang mempunyai anak kecil di rumah, Rozita juga enggan mengambil risiko apabila melibatkan soal vaksinasi.

“Kita kena adil, kena bertanggungjawab. Tak tahulah macam mana boleh lepas kalau belum dua dos dapat berlakon.

“Kalau Finas tahu, memang lesen akan kena tarik. Macam saya, saya tak mahu ambil risiko, sebab saya ada anak kecil kan kat rumah,” ujarnya.

Industri kreatif dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara bermula hari ini. -K! ONLINE

Isteri yang suaminya hilang kerja antara individu yang paling ramai minta bantuan. Sekali ini respon dan nasihat dari Che Ta.

Selebriti terkenal, Rozita Che Wan mendedahkan hampir semua pemohon bantuan daripadanya terdiri daripada isteri-isteri kepada lelaki yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik Covid-19.  Meluahkan kesayuan atas nasib mal4ng yang menimpa golongan tersebut, Rozita atau nama lengkapnya, Rozita Abu Bakar, 48, berkata, dia tidak dapat membayangkan kesusahan dan beban yang ditanggung seorang isteri, apatah lagi seorang ibu sekiranya suami mereka hilang pekerjaan. 

“Banyak sangat DM (mesej peribadi) masuk dan kebanyakan yang minta derma atau bantuan wang adalah golongan wanita.  Ada yang suami mereka bermasalah, suami kena buang kerja, sakit dan sebagainya. Sebagai seorang wanita, saya rasa sangat terkesan dengan situasi ini dan berharap urusan mereka semua dipermudahkan,” katanya

Rozita yang mesra disapa sebagai Che Ta itu menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak perlu rasa segan untuk memohon bantuan kerana pada waktu sekarang, setiap orang perlu menjaga dan mengambil tahu kedudukan dan kondisi antara satu sama lain.

“Ada yang malu nak cerita kepada saya yang mereka sedang susah sekarang, saya cakap, nak malu atau nak teruskan hidup.  Kita bukan nak malukan mereka tapi nak tolong seberapa yang boleh. Pada masa sama, kita juga nak elakkan kalau ada yang ‘buat-buat’ susah dan ambil kesempatan dengan bantuan yang kita berikan,” ujarnya lagi.

Sabtu lalu, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu berasa terpanggil untuk memberikan bantuan dalam bentuk kewangan kepada mereka yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 negara yang masih belum menunjukkan jalan reda.

Che Ta turut bertindak memberikan bantuan buat yang benar-benar dalam kesusahan dengan meminta mereka tinggalkan butiran nama, alamat dan nombor akaun bank di bawah ruangan komen satu hantaran status yang dimuat naik.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menyarankan orang ramai terutama golongan wanita supaya berusaha mencari rezeki walaupun sekarang banyak kekangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya faham ada yang kena buang kerja. Buat juga kerja lain. Macam saya tak boleh berlakon tetapi di rumah pun boleh jana wang, saya jual kuih.  Jangan lazimkan dalam minda apabila sudah habis kerja atau tiada pekerjaan makan gaji, tak boleh buat apa dah gelap dunia dan nak kena minta tolong orang lain.  Saya bukan nak menidakkan kesusahan orang. Tidak. Tetapi, selagi kita boleh usaha, kita usaha sebab tak semestinya tak boleh keluar rumah, tak boleh cari makan. Banyak benda boleh buat di rumah. Contohnya berniaga makanan,” kata Che Ta yang turut mengusahakan perniagaan kek lapis pandan keju menerusi @daridapoqcheta.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.