Selepas Tular, Ini Nasib Wanita gelang pink selepas berjaya dikesan

IPOH – Seorang pesakit di bawah pengawasan (PUS) wabak koronavirus (Covid-19) yang tular makan di sebuah restoran di Meru Raya di sini telah dikenal pasti dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Saringan pertama negatif

Menurut sumber, wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.

“Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.

“Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin,” katanya.

Saringan kedua positif

Menurutnya, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita tersebut positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.

“Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.

“Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini.

Tiada lagi kuarantin di rumah bermula Jumaat

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan tiada lagi orang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah bermula Jumaat, sama ada warganegara atau warga asing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin di institut latihan awam (ILA) atau hotel yang ditetapkan dan kos perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel bersesuaian sebagai stesen kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail berkata, susulan keputusan itu, warganegara yang pulang ke tanah air tidak lagi wajib menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum berlepas pulang.

Bagaimanapun, katanya, warga asing perlu menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum tarikh penerbangan.

Sebelum ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan didapati negatif Covid-19 wajib menjalani kuarantin 14 hari di rumah, bukannya di pusat kuarantin lagi, bermula 10 Jun lalu.

Hari ini, Ismail berkata, peraturan itu ditarik balik kerana masih ada individu degil melanggar SOP kuarantin rumah yang mengundang risiko penularan tempatan.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin rumah yang menyebabkan penularan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas, termasuk kompaun RM1,000 atau mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 6 bulan.”

Semalam, penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri, Dr Jemilah Mahmmod mengkritik perbuatan seorang wanita yang memakai gelang kuarantin rumah, minum di sebuah kafe di Perak.

Beliau mempersoalkan keluarga, kawan wanita itu serta pemilik kafe terbabit yang membenarkan beliau masuk dan tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, “individu sepertinya” akan menambah risiko berlaku gelombang ke-2 Covid-19 di Malaysia.

Sumber : kecoh ape