Ibu arwah Abam pula tuntut ganti rugi daripada menantu – “Peguam Hidayah sebut nama mertuanya untuk pengesahan tuntutan faraid”

KONFLIK yang timbul antara Nor Hidayah Mohd Ali dan keluarga mertuanya terus berpanjangan apabila peguam balu Allahyarham Abam itu tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan proses undang-undang yang diambilnya.

Menurut peguam Mohamed Ibrahim Mohamad, pihaknya menafikan dakwaan bahawa Nor Hidayah membuat tuntutan saman terhadap ibu mertuanya iaitu Sabariah Arshad.

Tegas Mohamed Ibrahim, sebaliknya Sabariah yang menfailkan saman terhadap Nor Hidayah pada Julai lalu.

“Kami memang tak pernah keluarkan saman terhadap ibu kepada Syed Ali Mubarak iaitu Sabariah, tapi pada bulan Julai lalu anak guam kami menerima saman sivil daripada Sabariah.

“Sabariah menuntut ganti rugi am dan juga injuksi untuk menghalang Nor Hidayah memberikan sebarang kenyataan.

Nor Hidayah (tengah) bersama dua pegaumnya.

“Kita minta semua pihak hormati proses mahkamah dan jangan buat komen tidak pasti kerana prosiding sudah bermula…. malah anak guam kami dinasihati tidak memberikan sebarang komen, ” katanya.

Ibrahim dan Nor Hidayah ditemui semasa sidang media tergempar yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah peguam syariah, Fadhlina Siddiq.

Sebelum ini menerusi siaran langsung di Facebook sebuah portal berita, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau pelawak Ali Puteh menunjukkan surat saman yang dihantar peguam Nor Hidayah kepada ibunya.

Bagaimanapun Ali Puteh tidak menjelaskan kandungan terpeinci surat berkenaan hingga mengundang pelbagai telahan dalam kalangan netizen.

Menjelaskan mengenai surat saman yang dinyatakan Ali Puteh, Fadhlina menjelaskan nama Sabariah turut tersenarai dalam tuntutan berkenaan sebagai pengesahan waris.

“Pihak kami menerusi mahkamah syariah ada menyebut nama ibunya untuk pengesahan tuntutan faraid, hak jagaan anak (hadanah) dan sebagainya.

“Untuk mahkamah syariah tak timbul isu saman mana-mana pihak selain hanya untuk sahkan waris berhak, ” katanya.

Sementara itu, Hidayah yang hadir ditemani keluarga kelihatan tenang dan enggan mengulas mengenai isu tersebut.

Menerusi laporan mStar pada 27 Ogos lalu, Ali Puteh, 31, bertindak memfailkan saman balas terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Ali mengambil tindakan tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada peguamnya berikutan kakak iparnya itu terlebih dahulu memfailkan saman terhadap dia dan keluarganya.

Sumber : Mstar