Sisi Rosmah Mansur Yang Ramau Tak Tahu Didedahkan Bekas Pembantunya

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu penjawat awam takut kepada isteri Najib Razak kerana mereka berpendapat, sekiranya mengingkari kehendak Rosmah Mansor, kemungkinan besar mereka akan dikenakan tindakan.

Memberi keterangan dalam perbicaraan Rosmah, bekas pembantunya, Rizal Mansor, bagaimanapun hal itu hanyalah khabar angin yang disebarkan untuk merosakkan imej isteri bekas perdana menteri terbabit.

Pun begitu, Rizal mengakui hubungan baik seseorang dengan Rosmah boleh memudahkan mereka mendapat kontrak projek kerajaan atau gelaran kebesaran seperti pangkat Datuk.

“Daripada pengalaman saya bekerja bersama warga perkhidmatan awam, saya dapati Datin Seri Rosmah mempunyai pengaruh yang besar ke atas mereka kerana beberapa faktor.Faktor utama ialah ketakutan warga perkhidmatan awam terhadap Datin Seri Rosmah yang dilihat sebagai isteri perdana menteri yang garang dan boleh mempengaruhi keputusan dan tindakan perdana menteri.

“Pada pandangan warga perkhidmatan awam, Datin Seri Rosmah berkebolehan untuk mempengaruhi perdana menteri untuk memindahkan pegawai-pegawai kerajaan yang menentang atau mengingkari permintaan beliau ke jawatan yang kurang penting atau di dalam istilah biasa di kalangan penjawat awam iaitu jawatan “peti sejuk” atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin,” katanya.

Rizal menegaskan bahawa persepsi tersebut adalah tidak tepat.Namun, Rizal berkata berdasarkan pemerhatiannya, ketika menyandang jawatan perdana menteri, Najib merupakan seorang suami yang sangat menghormati pandangan Rosmah.

Untuk jaga kebajikan isteri PM

Rizal berkata, pada mulanya tugasan dia kebanyakannya meliputi urusan media yang melibatkan Rosmah tetapi kemudian ditugaskan untuk hal-hal peribadi dan sulit memandangkan kepercayaan Rosmah terhadapnya semakin bertambah.

Dia berkata antara tugas sulit tersebut ialah menerima wang tunai dan hadiah daripada ahli perniagaan dan kontraktor bagi pihak Rosmah.Rizal menegaskan bahawa dia menganggap itu adalah sumbangan politik dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan.

“Dalam pengetahuan saya, ada beberapa usahawan atau kontraktor yang berjaya mendapatkan projek kerajaan setelah mereka dibantu oleh Datin Seri Rosmah.Pada kebiasaannya, usahawan-usahawan atau kontraktor-kontraktor ini akan memberikan sesuatu hadiah kepada beliau sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih mereka kerana beliau telah membantu mereka.

“Hadiah-hadiah yang diberikan ini adalah termasuk wang tunai,” katanya.

Rizal juga mendedahkan kemampuan Rosmah untuk mengesyorkannya gelaran Datuk berikutan kepercayaan wanita terbabit terhadapnya.

“Kepercayaan, keyakinan dan pengharagaan Datin Seri Rosmah terhadap prestasi dan bakti saya terbukti apabila beliau telah mengesyorkan saya sebagai penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

“Saya mendapat anugerah tersebut pada tahun 2014 ketika menjawat jawatan gred N48 sahaja.Anugerah sebegitu biasanya dikhususkan kepada pegawai-pegawai kerajaan berpangkat gred 54 ke atas,” katanya.

Kesannya kata Rizal agensi kerajaan cenderung untuk menghormati dan menggeruni bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.Kata Rizal keadaan itu dipengaruhi oleh keadaan Rosmah sebagai isteri perdana menteri dan pengendali bahagian FLOM yang ketika itu diketuai Siti Azizah Abod.

Terdahulu dalam keterangannya Rizal memberitahu mahkamah, bahagian tersebut ditubuhkan untuk menjaga kebajikan isteri perdana menteri.

“Apa saja permintaan daripada bahagian FLOM akan dilaksanakan dengan segera oleh agensi kerajaan tanpa sebarang bebanan birokrasi,” katanya.

Rosmah berdepan tiga pertuduhan salah guna dana untuk membekal dan memasang panel tenaga solar di 369 sekolah di kawasan pedalaman Sarawak untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia menghadapi pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta, serta dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, sebagai habuan kerana membantu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus.

Kredit:MK