Kebun Durian Musang King Dibenarkan Beroperasi Semula Sementara Oleh Pihak Mahkamah. Alasannya Didedahkan.

KUANTAN: Seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun terbabit, berkata perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz, selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Beliau berkata, mahkamah tiada bantahan, sekaligus membenarkan pergantungan notis dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.

“Kini pekebun durian terbabit selamat untuk menjalankan kerja harian mereka di atas tanah yang diterokai selepas mendapat perintah ini.

“Sebelum ini, mereka (pekebun durian) tidak berani memasuki dusun durian selepas mendapat notis supaya mengosongkan tanah dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP),” katanya.

Beliau ditemui selepas prosiding permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan kosongkan kebun dan pajakan tanah durian di Kompleks Mahkamah Kuantan, hari ini.

Sebahagian pengusaha kebun durian berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, untuk menyerahkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lalu, pekebun, Chan Yoke Kong, 50, bersama 101 pekebun lain, memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan negeri mengarahkan mereka mengosongkan tanah baru-baru ini.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuantan oleh Choon Jern telah menamakan enam responden.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub; Pengarah Jabatan Perhutanan, Kerajaan Pahang, Perbadanan Pertanian Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Kerajaan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Dalam pada itu, Choon Jern berkata, pekebun bersedia untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan dalam menyelesaikan masalah ini.

“Jika ditawarkan situasi menang-menang, saya percaya mereka (pekebun) juga sudi untuk berbincang tetapi mereka merasa tertekan kerana notis itu terlalu pantas iaitu perlu mengosongkan tanah dalam masa 30 hari.

“Mereka sudah lama mengusahakan tanah itu, ada dalam kalangan mereka (pekebun) mengusahakan dusun durian sejak 1961. Kini mereka hanya mahukan keputusan yang adil.

“Sebelum ini mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah, tetapi ditolak dengan alasan berada dalam kawasan hutan simpan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai permohonan semakan kehakiman, Choon Jern berkata, kes itu dibawa ke mahkamah selepas beberapa keputusan kerajaan negeri berhubung notis mengusir anak-anak guam kami dari tanah-tanah berkenaan.

“Kami memfailkan permohonan berkenaan pada Jumaat lalu (minggu lepas) dan semua kertas permohonan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Isnin lalu (24 Ogos).

“Hari ini pula ditetapkan pendengaran tetapi Jabatan Peguam Negara meminta sedikit masa untuk membaca (meneliti) kertas berkenaan dan telah memohon penangguhan untuk pendengaran hari ini,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Sumber : BHOnline