Azmin kluar kenyataan sindiir Anwar selepas lama berdiam diri

Semalam Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu sidang media mengesahkan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengemukakan dokumen sokongan ahli parlimen terhadap beliau.

Namun begitu, Anwar Ibrahim didakwa tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Azmin sindir Anwar

SHAH ALAM – Ketika tumpuan sedang diberikan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menarik perhatian.

Azmin membuat posting terbaharu menerusi ciapan di Twitter beliau sejurus Anwar selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

“Baru habis kuliah matematik,” kata Mohamed Azmin dipercayai menyindir Anwar berkaitan jumlah sokongan diperoleh Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Ciapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dibuat sejak sekian lama beliau mendiamkan diri selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Annuar sindir Anwar lagi

SHAH ALAM – Pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sejumlah 120 sokongan ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu terus mendapat kritikan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dipercayai turut menyindir Presiden PKR itu di laman Twitternya dengan menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai seorang yang ‘hebat’.

Ini berikutan beberapa pemimpin parti politik menafikan memberikan sokongan mereka terhadap Anwar termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus jumlah sokongan didakwa diterima Presiden PKR itu terus menimbulkan persoalan dan tanda tanya.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) tak sokong, Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) tak sokong,Tan Sri Muhyiddin Yassin tak sokong, Datuk Seri (Mohd) Shafie (Apdal) tak sokong,Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tak sokong, (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) tak sokong, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tak sokong, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tak sokong.

“Tapi dapat 120… hebat!!” ciapnya di Twitternya sebentar tadi.

Sebelum itu, Anwar juga sekadar mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataannya itu berkata, Presiden PKR itu mengemukakan jumlah ahli Parlimen terbabit ketika diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 25 minit, pagi tadi.

Perlu menghormati proses perundangan

Menurut laporan Istana Negara, dalam sesi yang berlangsung selama 25 minit itu, Datuk Seri Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan terhadapnya. Namun, beliau tidak menyediakan sebarang senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah hari ini.

Oleh itu, baginda telah menasihati Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua parti akan dipanggil

Terdahulu, Anwar memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong akan berjumpa dengan ketua-ketua parti untuk mengesahkan jumlah sokongan itu. Beliau juga memohon semua pihak agar memberi ruang kepada Tuanku untuk menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan dan budi bicara Tambahnya, Tuanku akan mempertimbangkan bukti yang beliau persembahkan.

Siapa yang sokong Anwar?

SOALAN pertama yang wartawan patut tanya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya semalam ialah, “Apakah Datuk Seri bercakap benar kali ini?”

Awang rasa itulah yang bermain dalam fikiran rakyat selepas sidang media itu. Begitu yakin Tuk Seri Anwar bercakap pasal pertemuannya dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Beliau macam memberikan gambaran bahawa Tuanku telah dapat diyakinkan bahawa beliau dapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Tuk Seri Anwar juga kata beliau serah pada Tuanku untuk memanggil ketua-ketua parti untuk mengesahkan hal itu. Tuk Seri Anwar juga meminta Tan Sri Perdana Menteri letak jawatan. Beliau akan wujudkan sebuah kerajaan yang inklusif yang mengambil kira kepentingan semua kaum di negara ini.

Mulanya banyaklah orang yang percaya bahawa pada hari ini (Rabu) berakhirlah kerajaan pimpinan Tan Sri Perdana Menteri.

Tak sampai setengah jam habis sidang media itu, keluar pula kenyataan media oleh Istana Negara. Kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu menyebutkan memang Tuk Seri Anwar diperkenankan menghadap. Waktunya selama 25 minit sahaja. Memang Tuk Seri Anwar ada menyebutkan bahawa beliau ada sokongan majoriti. Kenyataan itu bagaimanapun menyebutkan “beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.”

Minggu popular Anwar

NAMA Datuk Seri Anwar Ibrahim memang cukup popular. Bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain sama ada mengenai kisah peribadi beliau atau karier politiknya yang tidak pernah suram dengan cerita-cerita sensasi.

Semalam, tanggal 13 Oktober 2020, nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kembali menduduki tangga pertama orang paling popular di Malaysia.

Beliau membawa cerita yang sangat sensitif kerana jika benar jalan ceritanya, Malaysia bakal mendapat kerajaan baharu dengan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sebelum ini, selepas Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, nama Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sebutan dan sanjungan rakyat terutama apabila kerajaan di bawah pimpinan beliau berjaya mengawal penularan koronavirus (Covid-19).

Pelbagai insentif bantuan disalurkan kepada rakyat telah melonjakkan populariti Muhyiddin sehinggakan apabila beliau mahu bersiaran langsung menyampaikan perutusan khas, rakyat sudah menunggu di kaca televisyen atau menonton di telefon bimbit.

Namun, selepas peningkatan kes baharu Covid-19 yang berkait dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, populariti Muhyiddin jatuh merudum dan tidak keterlaluan boleh dikatakan, beliau mendapat kritikan negatif.

Rata-rata rakyat menyalahkan kepimpinan beliau kerana tidak menguatkuasakan kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah. Mendukacitakan, kerajaan hanya mengakui PRN Sabah adalah antara punca peningkatan kes tetapi tidak sekalipun mengakui bahawa tidak mewajibkan kuarantin itu adalah satu kesilapan.

Percaturan

Sepanjang tempoh ketidakpuasan hati rakyat mengenai perkara tersebut, nama Anwar kembali menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen terutama Melayu bumiputera untuk membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu dinyatakan Anwar dalam sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada 22 September lalu. Beliau dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama tetapi ditangguhkan kerana kegeringan Seri Paduka yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Semalam, beliau diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan seperti yang didakwa beliau.

Adakah Anwar mengikut langkah Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri dengan memperoleh sokongan majoriti melalui Akuan Bersumpah (SD)?

Rakyat sekali lagi disajikan dengan percaturan politik dalam kalangan ahli Parlimen yang setia dan khianat kepada parti masing-masing, kerana sokongan mereka kepada Anwar dikatakan adalah atas kapasiti individu, bukan parti.

Langkah Anwar itu menyebabkan pemimpin politik di blok kerajaan Muhyiddin tidak senang duduk.

Rakyat yang tertanya-tanya dengan kesahihan sokongan itu mula mengalihkan perhatian kepada individu bernama Anwar sehingga nama Muhyiddin tenggelam seketika.

Populariti Anwar melonjak tepat pada masanya dan menjadi pilihan rakyat ketika ini di sebalik kegagalan kerajaan mengawal penularan Covid-19.

Meskipun Anwar telah selesai menghadap Seri Paduka, namun jumlah sebenar ahli Parlimen yang menyokong beliau masih menjadi teka-teki.

Anwar dalam sidang medianya di Hotel Le Meredian di Kuala Lumpur semalam berkata, beliau telah menyerahkan senarai lebih 120 ahli Parlimen terbabit.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin yang mewakili Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Seri Paduka tidak menerima senarai ahli Parlimen yang menyokong Anwar.

Istana Negara membetulkan dakwaan Anwar. Rakyat pastinya lebih mempercayai Istana Negara tetapi tidak mustahil, ada pihak yang mempertahankan Anwar.

Apakah langkah Anwar terhenti begitu sahaja? Jawapannya pasti tidak.

Langkah susulan tentu telah jadualkan rapi menjelang pertemuan Seri Paduka Baginda dengan ketua-ketua parti politik yang juga kononnya telah diatur.

Nampaknya, nama Anwar akan terus menjadi sebutan, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik kerajaan dan rakan pembangkang, malah rakyat marhaen juga tertunggu-tunggu kemunculan cerita kerajaan baharu. Anwar dengan langkahnya, kerajaan Muhyiddin pula dengan caranya. Apa yang pasti, minggu ini Anwar adalah minggu Anwar bersama ‘popularitinya’. Sejauh mana keyakinan rakyat, masa akan jadi penentunya.

* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian

Kredit: Kecoh Ape