Latif Romly dedah dah ada pilihan hati. Sekali rupanya dah sampai rancang nak kahwin.

Nama atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly jadi bualan warganet setelah dia berjaya menyumbang pingat emas ketiga negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Namun disebalik kejayaan itu, ramai gadis terpikat dengan wajah tampan Latif yang tampil lebih ‘macho’ pada penampilan sukan paralimpik kali ini.

Abdul Latif dah berpunya

Menurut ibunya, Salmah Yatim, anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu sebenarnya sudah mempunyai pilihan hatinya dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2025. Latif rancang kahwin pada 2025 kerana buat masa ini dia masih nak tumpukan kepada sukan terlebih dahulu. Kalau ikutkan saya, 2025 pun masih rasa Latif terlalu muda lagi untuk berkahwin.

Ujarnya lagi, Abdul Latif tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat kerana ingin fokus dalam sukan dan menyasarkan untuk menyertai Sukan Paralimpik di Paris pada 2024 nanti. Namun, kami tidak ada halangan sebab keluarga pun sudah lama saling mengenali antara satu sama lain. Dia pun ada cakap yang lepas acara Sukan Paralimpik di Paris, baru merancang untuk berumah tangga.

Dalam pada itu, Abdul Latif dan teman wanitanya sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman sekolah lagi ketika mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar, Perlis. Sebelum ini, atlet berusia 24 tahun itu menjadi perbualan orang ramai apabila perubahan wajahnya yang kini jauh lebih matang berbanding wajahnya semasa di Sukan Paralimpik Rio pada 2016. Sumber : Kosmo

Latif Romly atlet pertama raih ganjaran RM2 juta

Paling menjadi tumpuan adalah Abdul Latif yang kini merangkul jumlah keseluruhan sebanyak RM2 juta selepas meraih emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik. Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly.

Pada 2016, anak jati Kampung Paya Kelubi, Perlis ini menghadiahkan pingat emas di Sukan Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual). Ketika itu dia mencipta rekod lompatan sejauh 7.60 meter (m) sekaligus mencipta rekod baharu dunia.

Semalam, Abdul Latif yang kini berusia 24 tahun mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melalui lompatan sejauh 7.45m. Kemenangannya itu menutup tirai Sukan Paralimpik 2020, sekali gus melengkapkan sasaran kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu.

Pada awalnya, jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli hampir untuk menjadi atlet pertama meraih wang ganjaran RM2 juta dalam edisi namun kemenangannya di Tokyo dinafikan. Olahraga Para Dunia membuat keputusan itu adalah berdasarkan kepada Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia –

‘Gagal melaporkan diri ke Call Room’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke ‘Call Room’ pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).

Berdasarkan peraturan ini, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke Call Room. Difahamkan, Ziyad lewat dalam tempoh dua hingga lima minit. Pada Paralimpik Rio 2016, Ziyad menyumbangkan pingat emas buat negara melalui acara sama.

Reaksi warganet

“Siapa sangka kan, boleh membaca cuma di usia 15 tahun dan kemudian menjadi pemegang rekod dunia, atlet emas negara dan dianugerahkan 2 juta oleh kerajaan. Benarlah, Allah beri rezeki untuk setiap hamba-Nya. Yang berbeza cuma masa dan bentuk. Tahniah, Latif!

“Rezeki Allah bagi hasil usaha keras. Baru umur 24 tahun tapi harta sampai beranak cucu nanti makan tak habis kalau bijak uruskan. ”Umur bru 24 masih muda bygkan 2 edisi lg mampu kekal lg emas dpt lg 2 juta utk 2 edisi lg jd 4 juta keseluruhan dan pencen seumur hidup 5k kali 4 jd 20k rezeki yg teramat byk dr Allah,,, terbaikkk

”Alhamdulillah rezeki dia. Penat lelah berlatih selama ni mesti diambil kira. Bukan sekelip mata boleh melompat & terbang sebagai juara. Teruskan usahamu selagi mampu Latif! Harumkan nama Malaysia dipersada dunia. Semoga menjadi inspirasi anak2 muda. 

” 1 dalam 2 juta. Moga lebih banyak atlet mbk lahir selepas ini… Setiap insan mampu menyumbang kepada masyarakat, , agama dan negara.. Semoga kejayaan ini membuka mata semua pihak yang memandang enteng murid2 mbk…

Ramai yang persoalkan siapa yang perlu bertanggungjawab bila Ziyad hilang Rm1.12 juta. Sekali ini respon dari jurulatih Ziyad.

Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan di sebalik kejadian pingat emas jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ditarik balik pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kelmarin?

Kelewatan juara bertahan itu memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan yang menjadi punca kemenangannya dibatalkan, adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku dan sukar diterima.

Malah, dek kerana kecuaian itu bukan sahaja Ziyad dan kontinjen negara hilang emas, tetapi lebih malang Ziyad terlepas ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik selain RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Jaguh negara berusia 31 tahun itu juga hilang statusnya sebagai pemegang rekod dunia. Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang pernah menjadi ketua kontinjen di Paralimpik London 2012 dan Sukan Asia Guangzhou 2018 mengakui kejadian itu tidak masuk akal kerana ini bukan pertama kali kontinjen negara bertanding di Paralimpik.

“Ada empat peringkat yang akan memastikan setiap urusan atlet negara di mana-mana temasya berjalan lancar bermula daripada ketua kontinjen, pegawai urusetia, pengurus pasukan dan jurulatih. “Ketua kontinjen dan pegawai urusetia menguruskan hal kontinjen secara keseluruhannya manakala setiap sukan pula ada pengurus dan jurulatih.

“Jadi, bagaimana perkara ini (lewat memasuki bilik menunggu) masih boleh berlaku? Ini yang perlu diberikan penjelasan, mengapa boleh lewat dan siapa yang perlu bertanggungjawab. Lagipun, ini bukan kali pertama kita bertanding di Paralimpik,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, emas dan rekod dunia yang dilakukan Ziyad ditarik balik selepas protes yang dilakukan kem Ukraine yang mendakwa dia bersama dua lagi atlet Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Walaupun kontinjen Malaysia mengemukakan rayuan namun ia ditolak oleh Juri Rayuan Olahraga Para Dunia berdasarkan Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia – ‘Gagal melaporkan diri ke bilik menunggu yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke bilik menunggu pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual bilik menunggu, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).

Berdasarkan peraturan itu juga, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke bilik menunggu. Zolkples berkata, insiden itu juga seharusnya menjadi pengajaran berguna buat semua atlet negara tidak kira atlet normal mahupun atlet kurang upaya.

“Jangan ambil mudah perkara sebegini walaupun pun sudah mahir dengan peraturan dan selok belok kawasan pertandingan. Bila-bila masa boleh berlaku kesilapan sekiranya kita lalai dan ianya amat merugikan. Sesal kemudian tidak ada gunanya. Lepas itu kita salahkan orang lain pula akibat dari kesilapan kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam menjelaskan kelewatan didakwa berlaku selepas ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke bilik menunggu tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.

“Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan berkenaan yang agak padat dengan atlet-atlet dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlet terbabit telah terhalang untuk memasuki bilik menunggu dan pada ketika itulah mereka didakwa lewat melaporkan diri.

“Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet berkenaan sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke bilik menunggu. Selepas merayu supaya dibenarkan masuk, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan,” katanya.

“Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku” – Jurulatih Ziyad

“Kepada semua pihak yang nak cari siapa salah, siapa tak salah, saya nak kata saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Janganlah tuding jari kepada orang lain.” Demikian kata Faizol Harun, jurulatih kepada atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mereka tiba di negara pada Jumaat.

Menurutnya, beliau tidak menganggap isu tersebut sebagai sabotaj daripada lawan sebaliknya kerana sedikit kesilapan teknikal. Tambahnya, mereka pada asalnya tiba awal, kira-kira jam 5.55 petang (acara bermula jam 6.00 petang) namun ditahan dan tidak dibenarkan masuk ketika hampir di ‘call room’

“Saya tak tahu, tak reda” – Ziyad Masih Kelu Berkata-kata, Belum Terima Hakikat ‘Hilang’ Emas

Sedih, kelu dan masih belum reda. Itulah perasaan yang digambarkan jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang kehilangan pingat emasnya gara-gara isu call room.

Menurut Astro AWANI, Ziyad yang bakal tiba ke tanah air hari ini telah meluahkan kekecewaan yang dialaminya berikutan isu tersebut kepada wartawan menerusi panggilan telefon. Saya tak berani nak cakap apa-apa. Memang tak tahulah. Saya koyak lagi sebenarnya ni.

Tak boleh, tak tahu, tak reda dan tak ada kata-kata yang boleh keluar dari mulut. Tak tahu nak cakap,” katanya. Bila ditanya apakah perasaannya ketika ini apabila mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) memutuskan untuk membatalkan pingat emas yang dimenanginya, Ziyad membalas,

Saya tak tahu nak cakap apa. Sedihlah. Nantilah kita jumpa di Malaysia,” katanya ringkas dalam nada sebak. Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo.

Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’. Pingat emas tersebut kemudian dimenangi atlet Ukraine, Maksym Koval. Semoga Ziyad terus tabah dan kita sama-sama beri support yang terbaik buat dia bila tiba di Malaysia nanti.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.