Majlis Pemulihan Negara menggariskan lima tema dalam merencanakan proses pemulihan Malaysia daripada pandemik cov19 kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggariskan lima tema dalam merencanakan proses pemulihan Malaysia daripada pandemik COVID-19, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, tema pertama merangkumi pengukuhan sistem penjagaan kesihatan awam dan industri berkaitan bagi meningkatkan kesediaan untuk keluar dari wabak kepada tahap endemik, seterusnya persiapan untuk menghadapi wabak berpotensi pada masa depan.

Katanya, MPN juga perlu melihat tahap kesejahteraan emosi individu, mereka yang dijangkiti COVID-19 dan pihak yang mengalami kerugian teruk.

“Tema kedua, MPN perlu mengenalpasti sektor ekonomi yang memerlukan perhatian sepenuhnya. Kita mesti membantu sektor berkaitan kembali bangkit dengan memberi tumpuan kepada pelancongan, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek hingga jangka sederhana.


“Kita juga perlu mengenal pasti dan memberi insentif insentif yang sesuai untuk perniagaan yang berpotensi mencatat pertumbuhan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Kita juga mesti memperkukuhkan sektor-sektor strategik utama yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global.

“Ini akan secara langsung meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan dan lebih penting lagi, peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Malaysia terutama golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi MPN juga akan mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan negara.

“Dalam tema ketiga, ia turut termasuk strategi untuk pembangunan infrastruktur fizikal dan digital selain melonjakkan komitmen terhadap dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Ini akan membantu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan kepada pelaburan langsung asing dan domestik.

“Tema keempat pula membabitkan usaha memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.

“Semua infrastruktur ini perlu sebagai persediaan menghadapi Era Digital dan membantu memudah cara urusan individu dan perniagaan beroperasi semasa pandemik,” katanya.

Bagi tema kelima, beliau menjelaskan, MPN perlu memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Memandangkan pandemik ini memberi kesan yang buruk kepada kehidupan, jaringan keselamatan sosial perlu diperkukuhkan supaya kita dapat terus membina kehidupan, juga mengembalikan nilai dan maruah setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, tema yang digariskan itu tidak begitu terperinci, justeru perkongsian idea bersama pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda diperlukan dalam merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara.

“Di samping itu, cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh akan juga dimasukkan ke dalam dasar pembangunan utama negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030),” katanya.

Abah buat kemunculan semula membuatkan ramai yang terkejut. Sekali ini jawatan yang disandang oleh abah.

SHAH ALAM – Pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri ternyata mengejutkan semua pihak.

Walaupun ada yang gembira dengan perkhabaran itu sekali gus membawa Abah kembali ke gelanggang, namun tidak kurang juga ramai yang kurang menyenangi keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

Masakan tidak, kegagalannya menangani isu Covid-19 sebelum ini dikatakan menjadi antara punca kejatuhannya, sekali gus menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataannya pada Sabtu menyatakan, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik.

Ia termasuklah memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu dan pelantikannya telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, keputusan itu nyata kurang disenangi oleh pembangkang.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail misalnya mendakwa, bekas Perdana Menteri itu gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada daripada segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Sumber: SH

Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN perlu dibatalkan.

PETALING JAYA: Pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri perlu dibatalkan.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Dr. Abu Hafiz Sallehuddin berkata, sebaliknya sebuah MPN yang benar-benar efektif perlu ditubuhkan secepat mungkin dan bukannya diketuai individu yang gagal menguruskan negara serta wabak pandemik Covid-19.

Malah katanya, pelantikan tersebut tidak wajar kerana cadangan penubuhan MPN hakikatnya telah dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

“MPN telah bersidang sebanyak tujuh kali dengan dianggotai majoriti ahli dalam kalangan pakar bidang masing-masing dan minoriti ahli dalam kalangan orang politik dengan komitmen tanpa gaji.

“Namun, MPN yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir telah ditolak dan dipandang sepi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.Menurut beliau, pelantikan bekas Perdana Menteri ke-8 itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Abu Hafiz berkata, apa yang menimbulkan persoalan di sebalik pelantikan tersebut apabila Muhyiddin yang telah diakui gagal dilantik semula dengan berstatus menteri.

“Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan ‘keyakinan’ bahawa beliau mampu mencadangkan strategi pemulihan negara, memperbaiki ekonomi dan memulihkan kehidupan rakyat. Sekiranya ‘harapan’ itu adalah benar, mengapa selama 17 bulan sebagai Perdana Menteri, ‘harapan’ itu tidak tercapai dan terlaksana?

“Selain itu apa yang menghairankan apabila tiga Duta Khas Perdana Menteri yang tidak dapat diukur pencapaian mereka selama 17 bulan telah dilantik semula dan mereka mendapat keistimewaan bertaraf Menteri,” jelasnya.

Ini secara tidak langsung jelas Abu Hafiz, menunjukkan kepimpinan Ismail Sabri semakin gagal dalam mencorak pentadbiran negara.

Sumber: Utusan Malaysia.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.