Penyanyi Azzam Sham berharap semuanya kembali seperti biasa dan dapat bersama keluarga. Kena terus kuat untuk adik beradik.

PETALING JAYA – Selepas kedua ibu bapa disahkan positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu lalu, penyanyi Azzam Sham sekali lagi diuji apabila adik perempuannya pula dijangkiti wabak tersebut semalam.

Azzam, 24, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, adiknya, Siti Nurazwani, 17, disahkan positif Covid-19 selepas dia mengadu berasa sakit tekak dan melakukan ujian calitan Covid-19.

“Keputusan yang diterima mendapati adik positif Covid-19. Selepas mendapat tahu tentang perkara itu, saya dengan lima lagi adik-beradik yang lain turut melakukan ujian calitan dan alhamdulillah keputusan kami negatif.

“Cuma dia sahaja (Nurazwani) yang positif dan telah dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) untuk rawatan,” katanya.

Ujar Azzam atau nama lengkapnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham itu lagi, doktor memberitahu bahawa adiknya bukan dijangkiti Covid-19 daripada ibu bapa, sebaliknya melalui jangkitan baharu.

“Kami semua tinggal bersama. Bila dapat tahu adik positif, perasaan saya jadi tidak tentu arah. Saya bimbang sebab adik saya tidak divaksin kerana baru berusia 17 tahun.

Tambahan pula dia mempunyai penyakit tiroid. Memang saya sangat risau,” katanya.

Juara Big Stage 2020 itu bagaimanapun perlu kuat untuk adik-adiknya yang lain kerana selepas ibu bapanya dimasukkan ke Maeps, dia bersama seorang lagi adiknya memikul tanggungjawab untuk mengurus keluarga.

“Kasihan dekat adik bongsu yang berusia 10 tahun bila dia menangis sebab rindukan ibu. Tapi apa yang saya boleh buat? Kami semua terasa jauh dengan ibu dan bapa.

“Saya berharap semuanya kembali seperti biasa, dapat bersama keluarga. Sekarang ini pun saya rasa benar-benar jauh dengan mereka (ibu bapa),” tambah penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Jangan Pergi itu lagi.

Menyentuh keadaan terkini ibu bapanya, Lop Hisham Piai, 53, dan Yusnita Yusop, 45, Azzam berkata keadaan bapanya baik-baik sahaja.

Namun, ibunya mengalami penurunan bacaan oksigen dalam badan pada paras 80 peratus pada malam tadi, namun kembali normal pada hari ini.

“Kalau keadaan mereka baik, insya-Allah ibu dan ayah dijangka akan dibenarkan pulang pada Jumaat nanti. Mudah-mudahan semuanya baik-baik sahaja,” kata Azzam.

Azzam bersama empat lagi adiknya iaitu Muhammad Azim Ramdan, 22, Intan Noraziean, 21, Muhammad Azryzham, 14 dan Nur Azreen Yusrina,10, yang negatif Covid-19 masih menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Sumber– K! ONLINE

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

10 ahli keluarga Aiman Tino disahkan positif Covid 19. Kesihatan ibunya merosot gara gara asma.

Ibu bapa dan lima orang adik-beradik Aiman serta kakak sulungnya sekeluarga disahkan positif Covid-19. Ujian buat penyanyi Aiman Tino apabila 10 anggota keluarga termasuk ibu, Hazelina Mat Jalil dan bapa, Yusri Ishak dijangkiti wabak Covid-19 sejak 10 hari lalu. Hazelina, 45, yang dihubungi mStar berkata, dia dan suami bersama lima anak mereka iaitu Nurisfasha, 19, Mohd Haikal, 15, Nur Alya Mahsuri, 12, Nurqaseh, 10, dan Nina Izzara, 6, kini menjalani kuarantin di kediaman mereka di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Manakala, anak sulungnya iaitu Nurfara Ain, 27 dan suami, Mohd Zafril, 36, serta anak mereka yang berusia sebulan kini menjalani kuarantin secara berasingan di Shah Alam. Bagaimanapun, Hazelina berkata, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu tidak dijangkiti memandangkan sudah lama tidak pulang ke rumah dan menetap di Kuala Lumpur.

Anak-anak dan suami dah baik demam… cuma, keadaan saya seorang saja yang agak teruk.

Terdahulu, kakak kepada Aiman Tino iaitu penyanyi Fara Hezel memuat naik status di Instagram memohon agar semua orang mendoakan keluarganya yang disahkan positif Covid-19. Dalam pada itu, Hazelina memberitahu biarpun sudah 10 hari menjalani kuarantin namun keadaan kesihatannya semakin merosot disebabkan mengidap penyakit asma.

“Anak-anak dan suami dah baik demam… cuma, keadaan saya seorang saja yang agak teruk. Saya memang ada asma yang teruk tambah pula dengan demam dan batuk yang tak baik-baik lagi sehingga kini. Seksa sangat batuk ini dan susah saya nak bernafas. Pagi tadi pun badan saya jadi sangat lemah dan rasa nak pitam. Tapi deria rasa dan bau sudah kembali. Doktor memang ada cakap kalau tak cukup oksigen, kena call ambulans untuk bawa saya ke hospital. Hari ini keadaan saya semakin teruk pula tapi tak pasti lagi perlu ke hospital atau tidak,” ujarnya.

Sumber : Mstar

Radin Era sanggup jual sesuatu ini hanya untuk kumpul duit buat dana Food Bank. Sekali rupanya ini yang menjadi inspirasi untuk dia lebih yakin dengan misinya.

Penyampai radio dan pengacara, Radin, berjaya mengumpulkan dana lebih RM2,000 menerusi jualan barangan peribadinya untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. Katanya, paling mengharukan apabila ada dikalangan pembeli mengirimkan jumlah lebih daripada harga jualan bersama niat sedekah supaya banyak lagi barang keperluan asas dapat diagihkan.

“Terima kasih di atas sokongan semua kerana sebaik baju ‘preloved’ saya itu dinaikkan dalam Instagram, kami menerima sambutan yang menggalakkan. Sehingga pukul 5 petang tadi lebih separuh daripada barangan yang dijual mempunyai masing-masing dan saya jangkakan jumlah dana ini akan meningkat sebaik semuanya habis dijual.

“Saya amat terharu dengan sokongan masyarakat kita yang tidak teragak-agak membeli sambil bersedekah malah ada yang membayar lebih daripada harga ditetapkan. Kesemua hasil jualan akan saya gunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan termasuk beras, minyak, tepung, gula serta tuala wanita. Jika tidak cukup saya akan tambah daripada gaji saya,” katanya.

Semalam pemilik nama penuh Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 31, menuar-uarkan kepada pengikutnya ingin membantu keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menerusi jualan barangan peribadinya.

Terdahulu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dia pernah melaksanakan misi sama dengan mengumpulkan sebanyak RM10,000 menerusi jualan 20 pasang kasut miliknya. Akui Radin lagi, kali ini dia enggan meletakkan sebarang sasaran dari segi jumlah kutipan sebaliknya cuma berharap setiap sen diraih dapat dimanfaatkan untuk lebih banyak keluarga. Kongsinya, kaedah penyerahan barangan yang diberi nanti adalah dengan menempatkan ‘food bank’ di Restoran Kueh Seksyen 13, Shah Alam, bagi memudahkan golongan memerlukan mengambil bungkusan untuk keperluan keluarga mereka.

“Sebarang perkembangan mengenai tarikh pengagihan barangan keperluan itu akan saya maklumkan menerusi hebahan dalam Instagram. Jika tiada aral mungkin dapat disegerakan pada minggu depan. Begitu juga dengan penghantaran baju yang sudah dijual kepada pemilik baharu. Bagi mereka yang ingin membantu, ada beberapa lagi baju yang masih belum terjual dan dikongsikan dalam laman sosial saya,” katanya.

Sementara itu, dia terpanggil melaksanakan sesi jualan amal ini selepas menerima banyak mesej peribadi yang meminta bantuan daripadanya. Malah pesanan ibu tercinta, Allahyarham Feridah Hashim yang sentiasa mengingatkannya untuk berkongsi rezeki dengan insan memerlukan tetap tersemat kukuh dalam ingatan.

“Kehilangan insan yang paling saya sayangi itu pada Februari lalu tinggalkan impak dalam kehidupan saya namun pada masa sama semangat ibu buat saya kuat. Apa yang saya lakukan untuk membantu orang lain ini juga sebagai amal jariah kerana mama selalu pesan tak perlu tunggu kaya baharu kita nak tolong orang, sebab dalam setiap rezeki kita, ada bahagian orang lain. Harapan saya semoga hati ini terus dijentik untuk meringankan beban insan lain. Melihat senyuman gembira mereka ini sudah cukup melegakan. Saya sedih mengenangkan ada yang tidur dalam keadaan lapar,” katanya.

Sumber : K! ONLINE

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.