Radin Era sanggup jual sesuatu ini hanya untuk kumpul duit buat dana Food Bank. Sekali rupanya ini yang menjadi inspirasi untuk dia lebih yakin dengan misinya.

Penyampai radio dan pengacara, Radin, berjaya mengumpulkan dana lebih RM2,000 menerusi jualan barangan peribadinya untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. Katanya, paling mengharukan apabila ada dikalangan pembeli mengirimkan jumlah lebih daripada harga jualan bersama niat sedekah supaya banyak lagi barang keperluan asas dapat diagihkan.

“Terima kasih di atas sokongan semua kerana sebaik baju ‘preloved’ saya itu dinaikkan dalam Instagram, kami menerima sambutan yang menggalakkan. Sehingga pukul 5 petang tadi lebih separuh daripada barangan yang dijual mempunyai masing-masing dan saya jangkakan jumlah dana ini akan meningkat sebaik semuanya habis dijual.

“Saya amat terharu dengan sokongan masyarakat kita yang tidak teragak-agak membeli sambil bersedekah malah ada yang membayar lebih daripada harga ditetapkan. Kesemua hasil jualan akan saya gunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan termasuk beras, minyak, tepung, gula serta tuala wanita. Jika tidak cukup saya akan tambah daripada gaji saya,” katanya.

Semalam pemilik nama penuh Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 31, menuar-uarkan kepada pengikutnya ingin membantu keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menerusi jualan barangan peribadinya.

Terdahulu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dia pernah melaksanakan misi sama dengan mengumpulkan sebanyak RM10,000 menerusi jualan 20 pasang kasut miliknya. Akui Radin lagi, kali ini dia enggan meletakkan sebarang sasaran dari segi jumlah kutipan sebaliknya cuma berharap setiap sen diraih dapat dimanfaatkan untuk lebih banyak keluarga. Kongsinya, kaedah penyerahan barangan yang diberi nanti adalah dengan menempatkan ‘food bank’ di Restoran Kueh Seksyen 13, Shah Alam, bagi memudahkan golongan memerlukan mengambil bungkusan untuk keperluan keluarga mereka.

“Sebarang perkembangan mengenai tarikh pengagihan barangan keperluan itu akan saya maklumkan menerusi hebahan dalam Instagram. Jika tiada aral mungkin dapat disegerakan pada minggu depan. Begitu juga dengan penghantaran baju yang sudah dijual kepada pemilik baharu. Bagi mereka yang ingin membantu, ada beberapa lagi baju yang masih belum terjual dan dikongsikan dalam laman sosial saya,” katanya.

Sementara itu, dia terpanggil melaksanakan sesi jualan amal ini selepas menerima banyak mesej peribadi yang meminta bantuan daripadanya. Malah pesanan ibu tercinta, Allahyarham Feridah Hashim yang sentiasa mengingatkannya untuk berkongsi rezeki dengan insan memerlukan tetap tersemat kukuh dalam ingatan.

“Kehilangan insan yang paling saya sayangi itu pada Februari lalu tinggalkan impak dalam kehidupan saya namun pada masa sama semangat ibu buat saya kuat. Apa yang saya lakukan untuk membantu orang lain ini juga sebagai amal jariah kerana mama selalu pesan tak perlu tunggu kaya baharu kita nak tolong orang, sebab dalam setiap rezeki kita, ada bahagian orang lain. Harapan saya semoga hati ini terus dijentik untuk meringankan beban insan lain. Melihat senyuman gembira mereka ini sudah cukup melegakan. Saya sedih mengenangkan ada yang tidur dalam keadaan lapar,” katanya.

Sumber : K! ONLINE

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.