Walau tak mewah tapi syukur. Riena Diana belanja gambar kereta pertama yang dimiliknya semperna hari jadi yang ke 24.

HAMPIR tiga tahun menyimpan angan-angan, akhirnya impian pelakon Riena Diana untuk memiliki kereta pertama tercapai.

Pelakon dan penyampai radio, Riena Diana meluahkan rasa syukur apabila membeli kereta jenis Mazda CX-5 yang dianggarkan bernilai sekitar RM132,000 pada usia 24 tahun.Menerusi perkongsian di laman Instagram, Riena atau nama penuhnya Nur Qamarina Diana Zureal mengakui gembira kerana mencapai satu lagi kejayaan sempena ulang tahun kelahirannya pada 3 September lalu.

“Saya memang dah lama nak beli kereta sejak awal bergelar pelakon kira-kira lima tahun lalu… tapi masa itu saya cuba buat loan macam-macam kereta termasuklah Myvi tapi tak lepas.

“Alhamdulillah tahun ini saya dah mampu beli kereta sendiri, selepas bertanya dengan sahabat saya, Uyaina Arshad dia cadangkan kereta sama dengannya, jadi itu sebab saya ambil kereta jenama ini!

“Sebelum ini ada juga tengok-tengok beberapa jenama kereta lain, tapi setelah difikir-fikirkan kereta ini paling sesuai untuk kegunaan harian,”

Menerusi Instagram, penyampai radio Hot FM ini berkongsi kegembiraannya memiliki kereta pertama semasa ulang tahun kelahiran ke-24 yang disambut pada 3 September lalu.

“Belanja sikit hadiah hari jadi saya… Alhamdulillah di usia 24 tahun saya dapat capai satu pencapaian dalam hidup. Lain orang lain perjalanan hidup.

“Bukanlah mewah mana tapi ini sudah lebih menggembirakan. Lebih banyak akan datang InsyaAllah. Selepas ini apa pula ya?” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Sementara itu, Riena berkata meskipun ini bukan jenama kereta impiannya, namun dia tetap bersyukur kerana dapat memiliki kenderaan yang boleh dijadikan pengangkutan untuk mencari rezeki dan kegunaan keluarga.

“Kalau ikutkan kereta idaman saya ialah Range Rover. Tapi belum ada rezeki… dapat Mazda pun Alhamdulillah seronok sangat. Kalau orang lain mungkin beli kereta lebih mewah tapi saya memilih untuk ukur baju di badan sendiri.

“Saya pun kira baru lagi bekerja, tak tahu apa akan jadi lepas ni… sebaiknya simpan duit untuk hal yang lebih penting. Jadi tak apa la simpan dulu angan-angan nak pakai kereta mewah, kita beli apa yang mampu dulu!” ujarnya.

Mengimbau kenangan di awal-awal pembabitannya sebagai pelakon, Riena berkata dia meminjam kereta bapa saudaranya untuk kegunaan harian.