Adik buat kejvtan bila menikah dengan kavm sejenis

PERASAAN Hasnah Haron (bukan nama sebenar) tidak keruan. Dirinya seakan-akan tidak percaya apabila menerima berita tentang adiknya.

Adiknya dikhabarkan telah berkahwin. Perkhabaran itu membuatkan dadanya sesak dan jantungnya seakan hampir terhenti. Tiba-tiba sahaja dirasakan kakinya lemah dan kepalanya berputar.

Bagaimana dirinya mahu menerima berita itu kerana adiknya, Haziqah (bukan nama sebenar) sudah berkahwin senyap-senyap? Paling mengejutkan apabila diberitahu seorang kenalan bahawa Haziqah telah selamat bernikah dengan seorang wanita, sama jantina seperti adiknya itu.

Memikirkan perkara itu, beliau sangat runsing. Apatah lagi mahu memberitahu ibu bapanya tentang perihal Haziqah. Masakan tidak, ia sama sekali bertentangan dengan Islam!

Haziqah sememangnya berperwatakan seperti lelaki walaupun dia seorang wanita. Suka berpakaian lelaki dan berambut pendek seperti kaum Adam. Raut wajahnya juga seperti orang lelaki.

Atas nasihat suaminya, Hasnah mula mencari bahan bukti untuk menunjukkan Haziqah seorang wanita. Kemudian, beliau memutuskan untuk membuat aduan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Siasatan segera dilakukan. Apa yang mengejutkan, Haziqah telah menukar namanya kepada nama lelaki dalam kad pengenalan tanpa pengetahuan keluarganya.

Satu demi satu helah Haziqah untuk menukar nama yang selama ini disembunyikan, akhirnya dibongkar. Hasnah tidak menyangka adiknya begitu licik sehingga berjaya memperdaya banyak pihak semata-mata mahu mengakui dirinya adalah seorang lelaki.

Pihak JAIN kemudiannya membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mengisytiharkan bahawa perkahwinan Haziqah dan isterinya tidak sah dan difaraqkan.

Nikah kaum sejenisSemasa perbicaraan berlangsung, Haziqah menjelaskan bahawa beliau telah memenuhi prosedur sebagaimana ditetapkan oleh pihak JAIN. Antaranya mengisi borang permohonan nikah dan mendapatkan kebenaran jurunikah di luar.

Bagaimanapun, pihak JAIN telah mengemukakan segala bukti berkaitan termasuk enam individu sebagai saksi. Ia bagi menyokong keterangannya yang membuktikan Haziqah seorang wanita dan bukannya khunsa serta perkahwinan wanita itu dengan isterinya tidak sah. Antara saksi yang dipanggil termasuklah dua orang doktor dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berdasarkan fakta dan segala bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan pernikahan antara Haziqah dan isterinya tidak sah dan tidak sabit kerana tidak menepati kehendak serta rukun dan syarat sah nikah.

Mahkamah juga memerintahkan agar perkahwinan itu difaraqkan. Pada masa sama, JPN diarahkan untuk menukarkan nama dan status jantina Haziqah kepada namanya yang asal. Ia sepertimana yang tercatit dalam sijil kelahirannya.

Mendengar keputusan itu, Hasnah berasa lega. Sempurnalah tanggungjawabnya untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh Haziqah.

Walaupun kedua-dua ibu bapanya terpaksa menanggung malu, semua itu terpaksa ditelan demi menegakkan syariat agama Islam.

Wajib lapor kepada Pendaftar Mahkamah jika perkahwinan tak sah

Mengulas mengenai kes Haziqah Haron yang berkahwin dengan kaum sejenis, Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, walaupun wanita itu telah menukar nama dan jantinanya kepada lelaki dalam kad pengenalan, perkara tersebut tidak akan dapat mengubah jantina asalnya secara saintifik.

“Maksud saintifik itu adalah perubahan jantina kepada lelaki itu tidak akan menyebabkan dia boleh mempunyai apa-apa yang dihasilkan oleh hormon seorang lelaki seperti menghasilkan sperma untuk menghasilkan zuriat, tumbuh misai dan lain-lain.

“Oleh itu, ia merupakan sebuah perkahwinan yang batil dan salah di sisi hukum syarak. Islam melarang sekeras-kerasnya dan mengharamkan perkahwinan sesama jantina.

“Perkara ini ditekankan dalam al-Quran menerusi Surah al-A’raf, ayat 80-81 yang diambil daripada kisah kaum Nabi Luth. Semua maklum kaum Nabi Luth yang telah melampaui batas kerana melakukan hubungan sejenis,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fazru Anuar turut memuji tindakan kakak kepada Haziqah yang melaporkan tentang perkahwinan sejenis itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Ia menepati peruntukan Seksyen 26 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

“Undang-undang berkenaan antara lain mewajibkan setiap individu melaporkan kepada Pendaftar Mahkamah jika mendapati sesuatu perkahwinan adalah tidak sah.

“Kes-kes sebegini akan disiasat oleh pihak JAIN secara teliti bagi mengesahkan perkara tersebut dan mengumpulkan bahan bukti untuk dibawa ke mahkamah Syariah,” katanya.

Seandainya perkahwinan melibatkan individu khunsa, peguam syarie itu menjelaskan, secara umumnya, Seksyen 11 memperuntukkan perkahwinan adalah sah sekiranya cukup semua syarat yang perlu.

Nikah kaum sejenis
RUKUN nikah terdiri daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab kabul yang perlu dipenuhi bagi setiap perkahwinan. -Gambar hiasan

Jelasnya, tiada masalah untuk seorang khunsa bernikah dengan syarat khunsa tersebut mestilah jelas ciri-ciri jantinanya sama ada lelaki atau perempuan.

“Khunsa ini berbeza dengan golongan transeksual. Transeksual merupakan seorang yang lahir mempunyai satu jantina, tetapi merasakan bahawa jantina yang dimiliki tidak sesuai dengan fitrahnya, atau dengan kata lain, mereka mempunyai kecelaruan jantina (disforia gender).

“Sementara itu, khunsa pula merupakan seseorang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau seseorang yang tidak mempunyai alat kelamin, hanya mempunyai lubang untuk membuang air.

“Bagi seorang khunsa yang telah jelas jantinanya, mereka tidak dihalang oleh undang-undang untuk melangsungkan perkahwinan, tetapi dengan syarat perkahwinannya hendaklah dilangsungkan dengan seseorang yang berlawanan jantina dengannya,” katanya.