Ini antara talian hayat terakhir buat lima beranak ini . Tak sangka sampai 6 bulan ikat perut.

“Sepanjang 16 tahun, tempoh enam bulan ini adalah yang paling sukar sehinggakan kami lima beranak terpaksa ‘ikat perut’,” luah Erala Ismail yang buntu memikirkan nasib keluarganya sehingga bertindak menggantungkan bendera putih di kediamannya sebagai talian hayat terakhir.

Menetap di bilik sewa kecil di tengah bandaraya Melaka bersama suami dan tiga anak mereka, wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu berkata, kehidupan keluarganya mula berubah selepas suaminya hilang pekerjaan sejak awal tahun lalu.

Keadaan itu berlaku apabila medan selera di tempat suaminya mencari rezeki dengan gaji harian sebanyak RM35 sehari terpaksa menghentikan operasi perniagaan atas beberapa sebab termasuk faktor pandemik yang sekali gus mengubah nasib mereka sekeluarga.