Al-Fatihah, Perginya seorang insan seni. Takziah.

PELAKON veteran, Abu Bakar Juah, 72, meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam jam 6.35 petang, hari ini akibat kanser hati.

Berita itu disahkan anak ketiga Allahyarham, Safinas Abu Bakar, 32.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan tenat selepas dibenar keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak lebih dua minggu lalu.

Sebelum ini, pelakon filem Matinya Seorang Patriot dan Dukun itu disahkan menghidap kanser usus pada 2016. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada kanser.

Kanser datang kembali

Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit kanser kembali menyerang, malah lebih agresif hingga merebak ke hati.

Abu Bakar yang juga bekas Pengarah Penjara Taiping itu meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak.

Drama terakhir yang pernah dibintanginya ialah Mr Grey pada 2018.

Sebelum ini,

Abu Bakar Juah hidap kanser usus

PELAKON veteran Abu Bakar Juah, 72, yang berdepan beberapa komplikasi penyakit termasuk kanser usus, kembali dimasukkan ke Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak Sabtu lalu untuk pemantauan doktor.

Pelakon versatil yang boleh melakonkan pelbagai watak ini berkata, dia juga perlu menjalani pembedahan berkaitan penyakit batu hempedu yang dideritainya.

Terdahulu situasi kesihatan Abu Bakar dilaporkan tidak stabil dan lemah apabila mula sakit sejak 2017 dan menjalani rawatan di rumah.

Dia juga didapati mempunyai ketumbuhan dalam usus dan ‘blockage’ yang sudah dibuang.

Abu Bakar sudah menjalani proses kimoterapi selama 15 bulan dan bulan lalu, doktor mengesahkan hatinya sudah tidak boleh berfungsi kerana ada batu hempedu.

Sejak berita mengenai sakitnya tular, Abu Bakar tidak putus-putus dikunjungi oleh kenalan lama dan teman-teman artis.

Menurutnya lagi, dia juga perlu bergerak perlahan-lahan memandangkan keadaannya masih lemah.

Pelakon berasal dari Taiping, Perak, berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980. Mereka mempunyai empat anak dan seorang cucu.

Sumber Hmetro