Perdana Menteri Muhyiddin Yassin Buat Kenyataan Samada Perlu Atau Tidak PKP Dibuat Semula Setelah Mendapati Keadaan Semakin Teruk

PAGOH: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan menyebabkan masalah lain, termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi, kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta rakyat terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian.

“Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan melaksanakan semula PKP secara menyeluruh.

“Kerajaan memperuntukkan RM295 bilion untuk memulihkan ekonomi ketika ini, selepas terkesan akibat COV-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudah diagihkan kepada pihak memerlukan.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal, maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat.

“Tanpa kerjasama saudara saudari sekalian, adalah mustahil untuk kita berjaya menamatkan terus rantaian jangkitan COV-19 ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin COV-19 pada peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas kementerian yang ditubuhkan pada April lalu.

Katanya, usaha berkenaan bagi meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan COV-19.

“Kerajaan sentiasa memantau situasi terkini pandemik COV-19. Saya difahamkan terdapat beberapa negara yang sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin.

“Namun besar kemungkinan, ia akan mengambil sedikit masa lagi, iaitu pada awal tahun 2021.

“Sehubungan dengan ini, Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin COV-19 di peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas kementerian,” katanya.

Pengunjung Zoo patuhi SOP

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Saya mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

“Tindakan melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada j4ngkitan COV-19.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Mereka ditempatkan di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan. Pihak berkuasa juga bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di lokaliti setempat, sekiranya terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak di kawasan tertentu,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE