Walaupun diuji sebegini. Namun Zulkifli dan Rosnah akui tidak pernah putus rezeki selepas ambil anak angkat.

Tiada istilah putus asa malah pasangan suami isteri, Zulkifli Ahmad dan Rosnah Isa pernah berikhtiar dengan bermacam cara untuk mendapatkan zuriat sepanjang lebih tiga dekad berumah tangga. Bagaimanapun, tiada rezeki buat mereka tetapi pasangan dari Kampung Bentong Dalam, di sini, tidak menyalahkan takdir sebaliknya bersyukur kerana diberi kesempatan menjaga dan membesarkan tiga anak angkat dengan salah seorangnya, Muhammad Hafizh, 31, adalah Orang Kurang Upaya kategori autisme.

Kehadiran anak angkat sulung, Muhammad Hafizh ternyata memberi kebahagian buat Zulkifli, 5,7 dan Rosnah, 55, yang ketika itu baru tiga tahun berumah tangga. Lebih menggembirakan mereka apabila menerima dua lagi anak angkat iaitu Nurain, 24, dan Muhamad Ramadhani, 8, sebagai pelengkap kehidupan.

“Saya dan isteri pernah jumpa doktor selain cuba cara tradisional untuk mendapatkan zuriat namun semua usaha itu tidak berhasil. Pada satu hari, seorang rakan menghubungi saya bertanya sama ada mahu mengambil anak angkat dan saya beritahunya tidak keberatan. Malam itu juga, rakan saya datang menghantar Hafizh (nama gelaran) ke rumah yang menurutnya tidak mampu dijaga oleh keluarga kandung,” katanya.

Menurut Zulkifli, dia tidak sedar kelainan yang ada pada Muhammad Hafizh kerana anaknya itu membesar seperti biasa, pernah dihantar ke tadika dan tidak menunjukkan ciri pelik melainkan agak hiperaktif yang disangkanya normal bagi seorang kanak-kanak.

“Saya tak sedar Hafizh seorang anak istimewa dan disebabkan itu mendaftarnya masuk ke sekolah harian biasa pada mulanya. Bagaimanapun, setiap kali menghantarnya ke sekolah dan mahu beredar pulang, dia mahu ikut sama dan sebulan juga dia berkelakuan begitu. Pada awalnya, saya anggap perkara itu normal tetapi seorang guru syorkan saya bertemu pakar yang mengesahkan Hafizh kategori autisme,” katanya.

Biarpun lewat tahu perkara sebenar, Zulkifli dan isterinya tidak kecewa malah kasih sayangnya terhadap Muhammad Hafizh tetap sama. Katanya, dia juga sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan ketika bekerja sebagai pengurus unit harta dan pelaburan bagi memberi perhatian kepada Muhammad Hafizh ketika mula dimasukkan ke sekolah pendidikan khas.

“Alhamdulillah, majikan saya faham keadaan saya ketika itu namun demi menguruskan Hafizh, saya akhirnya ambil keputusan berhenti kerja dan fokus dengan kerja sebagai perancang perkahwinan. 30 tahun juga saya jadi perancang perkahwinan sebelum menjadi peniaga ayam cucuk bermula Mac tahun lalu akibat pandemik,” katanya.

Biarpun ada kekurangan, Zulkifli mengakui Muhammad Hafizh ada kelebihan lain malah rajin membantunya melakukan kerja memasang pelamin sewaktu aktif dengan kerja sebagai perancang perkahwinan. Katanya, kelebihan lain dimiliki Muhammad Hafizh adalah pandai bermain komputer serta ada ingatan yang kuat.

“Meskipun begitu, saya tidak pernah melebihkan Hafizh tetapi turut memberi kasih sayang sama rata kepada dua anak angkat yang lain. Bagi saya, ketiga-tiga mereka istimewa dan anugerah terindah yang tidak ternilai buatnya dan isteri. Anak adalah anugerah Allah yang patut dijaga dengan sebaiknya dan itu cuba dilakukan saya sejak hari pertama mengambil mereka,” katanya.

Walaupun pekerjaannya sebagai perancang perkahwinan terkesan akibat pandemik, Zulkifli bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus sejak menjaga Hafizh dan dua anak angkat lain. “Bukan saja rakan malah keluarga terutama adik beradik banyak membantu dan saya bersyukur dikelilingi dengan individu yang positif. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pengikut di TikTok yang mendoakan anak saya. Terharu rasanya kerana ikutkan, akaun itu masih baru dan saya juga tidak pandai bermain TikTok tanpa tunjuk ajar rakan tetapi sudah mengumpul lebih 10,000, dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sumber : Hmetr0

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.